Kelebihan Hari Arafah Dan Hari Raya Aiduladha | Hari ini adalah merupakan hari wuquf di Arafah bagi mereka yang berada di Tanah Suci.
Dalam Sahih
Bukhari dan Muslim, daripada Umar bin al-Khattab RA,
terdapat seorang lelaki dalam kalangan Yahudi berkata kepadanya, ''Wahai
pemimpin orang yang beriman! Terdapat ayat dalam kitab kamu yang
jika diturunkan kepada kami orang Yahudi, sudahtentu kami akan jadikannya
sebagai hari raya kami.” Umar SAW bertanya, “Ayat yang mana satu?''
Dia menjawab
الْيَوْمَ
أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ
الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ
لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
'Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah
cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama
untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda
yang diharamkan ) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa ( maka
bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.''
(Surah
al-Ma'idah: 3)
Umar
berkata lagi, ''Sesungguhnya aku mengetahui hari dan tempat yang telah
diturunkan tentangnya iaitu ketika Rasulullah SAW berdiri di Arafah pada hari
Jumaat.'' Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas dan seumpamanya,
beliau telah berkata ,''Ia telah diturunkan pada dua hari raya;
hari Jumaat dan juga pada hari Arafah.''
Makna Berhari Raya
Hari
raya merupakan musim untuk umat Islam bergembira dan berseronok. Ini merupakan
kegembiraan dan keseronokan bagi orang yang beriman di dunia ini seperti hamba
yang dilepaskan oleh tuannya.
Apabila
berjaya menyempurnakan segala arahan tuannya, orang yang beriman akan
memperoleh pahala di atas segala amalan mereka dan keteguhan mereka menunaikan
segala perintah Allah sebagaimana firman-Nya,
قُلْ
بِفَضْلِ اللَّـهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا
يَجْمَعُونَ
Maksudnya:
''Katakanlah (wahai Muhammad), kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata
dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan
al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana
ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan daripada segala benda dan
perkara yang tidak kekal).''(Surah
Yunus: 58)
Ulama
berkata, ''Tiada yang dapat mengembirakan seseorang melainkan dia tidak lalai
daripada mengingati Allah. Orang yang lalai gembira apabila hawa nafsunya
dituruti manakala orang berakal gembira dengan Tuhannya”.
Ketika
Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua hari raya. Maka
Rasulullah SAW telah bersabda,
فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْرًا
مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ
Maksudnya:
''Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik
iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.''
Riwayat
Imam Ahmad (12362)
Allah
telah menggantikan kepada umat-Nya dua hari untuk berseronok kosong dan lalai
pada hari itu dengan hari untuk kita bersyukur, memohon keampunan dan kemaafan
antara satu sama lain.
Tiga Hari Raya Di Dunia
Di
dunia ini, terdapat tiga hari perayaan bagi orang yang beriman, iaitu satu hari
raya yang akan berulang sekali setiap seminggu dan dua hari yang datangnya
hanya setahun sekali. Satu hari raya yang berulang sekali seminggu, iaitu hari
Jumaat dan merupakan hari raya mingguan selepas kita menyempurnakan solat yang
dituntut oleh Islam.
Sesungguhnya
Allah mewajibkan keatas orang yang beriman pada setiap hari solat lima waktu.
Manakala solat Jumaat dituntut untuk disempurnakan seminggu sekali iaitu pada hari
Jumaat yang merupakan hari disempurnakan penciptaan makhluk. Diciptanya nabi
Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga.Pada hari ini juga diadakan
himpunan mendengar khutbah, Pengajaran dan solat Jumaat. Hari ini dijadikan
sebagai hari raya dan dilarang berpuasa.
Keadaan
solat Jumaat seperti menunaikan haji. Diriwayatkan bahawa ia ialah haji orang
miskin. Said bin Musayyab berkata, ''mengerjakan solat jummat lebih aku
sukai daripada menunaikan haji sunat.'' Bersegera kepadanya sama seperti
melalukkan korban mengikut peringkat keutamaan, iatu yang paling awal seumpama
mengorbakan unta, kemudian lembu, kemudian kambing, kemudian ayam dan terakhir
dengan telur ayam.
Mengerjakan
solat Jumaat dapat menghapuskan dosa sehingga Jumaat seterusnya sekiranya tidak
melakukan sebarang dosa besar. Seperti mana haji mabrur yang akan terhapus
segala dosa tahun itu sehingga ke haji seterusnya. Terdapat satu riwayat yang
menyatakan, ''jika sempurna Jumaatnya, maka sempurnalah sekalian
harinya itu.
''Diriwayatkan juga, ''Sesungguhnya Allah
mengampunkan dosa orang-orang Islam pada hari Jumaat.'' Dalam hadis sahih,
Nabi SAW telah berkata:
مَا
طَلَعَتِ الشَّمْسُ وَلاَ غَرَبَتْ عَلَى يَوْمٍ أَفْضَلَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ
Maksudnya: ''Matahari
tidak terbit dan terbenam pada hari yang lebih baik daripada hari Jumaat.''
Riwayat
al-Tirmizi (3339), al-Tabarani (1087) di dalam al-Mu’jam al-Awsat
Dalam
kitab al-Musnad, Rasulullah SAW bersabda berkaitan hari Jumaat,
سَيِّدُ
الْأَيَّامِ يَوْمُ الْجُمُعَةِ وَأَعْظَمُهَا عِنْدَهُ وَأَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ
عَزَّ وَجَلَّ مِنْ يَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ الْأَضْحَى
Maksudnya:''
Penghulu segala hari adalah Hari Jumaat. Ia merupakan hari yang lebih baik
disisi Allah daripada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.''
Riwayat
Imam Ahmad (15548), al-Baihaqi (2712) di dalam Syu’ab al-Iman
Hari
raya yang berlaku seminggu sekali ini adalah setelah selesainya kita
menyempurnakan solat yang merupakan salah satu rukun Islam yang agung selepas
kita mengucap dua kalimah syahadah. Manakala dua hari yang tidak berlaku sama
sekali melainkan hanya setahun sekali ialah:
1) Hari
Raya Aidilfitri
Hari
raya Aidilfitri yang tiba apabila selesai melakukkan puasa di bulan Ramadhan
yang merupakan rukun ketiga dalam prinsip rukun Islam. Apabila selesai umat
Islam berpuasa pada bulan ramadhan yang difardhukan k eatas mereka selama
sebulan, layak diampunkan dosa mereka dan terlepas daripada azab api neraka.
Allah telah merencanakan semua ini sebagai pengganti keatas mereka yang
menyempurnakam puasa di bulan ramadhan selama sebulan dan mereka dihadiahkan
dengan perayaan bagi menzahirkan raya syukur kepada Allah dengan bezikir dan
betakbir atas kemenangan merekan menyelesaikan puasa selama sebulan.
Umat
Islam disyariatkan juga pada hari raya untuk melakukkan solaytsunat hari raya
dan juga bersedekah. Ini merupakan hari perhargaan bagi mereka yang
menyempurnakan puasa mereka dan pengampunan dosa.
2) Hari
Raya Korban (Aidiladha)
Hari
Raya Korban (Aidiladha) iaitu hari raya yang paling besar dan banyak
kelebihannya. Hari raya ini dilakukan setelah kita sempurna menyelesaikan
ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Apabila orang Islam selesai
menunaikan haji mereka, maka diampunakan segala dosa mereka. Sesungguhnya
menyempurnakan haji dengan wukuf di padang Arafah merupakan rukun haji yang
sangat agung seperti sabda Rasulullah SAW:
الْحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: ''Haji
itu berada di Arafah.''
Riwayat
Ibnu Majah (3015),al-Nasaie (3016),Ibnu Khuzaimah (2822) di dalam Sohihnya,Imam
Ahmad (18774) di dalam Musnad.
Hari
Arafah merupakan hari pelepasan daripada api neraka dengan Allah melepaskan
daripada azab api neraka bagi mereka yang wukuf di Arafah dan kaum muslimin di
negara lain yang tidak berwuquf. Oleh itu, hari yang selepasnya dijadikan hari
perayaan bagi semua kaum Muslimin di tempat masing-masing, sama ada mereka yang
pergi menunaikan haji atau tidak, disebabkan kesemuanya layak mendapat
keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari Arafah.
Sesungguhnya
ibadah Haji tidak diwajibkan kepada semua orang Islam setiap tahun sebagai
keringganan terhadap hamba-hamba-Nya. Haji ialah fardu kifayah ke atas seluruh
kaum muslimin pada setiap tahun. Berlainan pula dengan puasa Ramadhan yang
wajib dilakukan pada setiap tahun atas setiap umat Islam. Apabila selesai
melakukan ibadat di Arafah, maka terlepaslah orang-orang beriman itu daripada
azab api neraka dan selepas itu semua umat Islam menyambut hari raya.
Disyaratkan
ke atas umat Islam untuk melakukan penyembelihan iatu dengan menumpahkan darah
mana-mana binatang yang dibenarkan untuk dikorbankan. Bagi yang menunaikan
haji, mereka selanjutnya melontar jamrah, disyariatkan juga ke atas mereka
untuk bertahallul daripada perkara yang diharamkan haji, melakukan sunat haji,
menunaikan nazar mereka, menyembelih binatang untuk dikorbankan kemudian
melakukan tawaf di Baitul ‘Atiq (Kaabah). Kaum muslimin yang lain pula
berkumpul untuk melakukan zikir, takbir dan solat sunat hari raya. Mikhnaf bin
Sulaim, Beliau dalam kalangan sahabat, meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti
melakukan Umrah, meraikan Hari Raya Aidiladha seperti melakukan Haji. Selepas
itu mereka melakukan korban sebagai mensyukuri segala nikmat yang diberikan.
Solat dan korban pada Aidiladha adalah lebih mulia daripada solat dan sedekah
pada Hari Raya Aidilfitri. Untuk ini, Rasulullah SAW disuruh melakukan solat
dan penyembelihan selepas diberikan al-Kautsar, dan dikatakan,
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي
لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya:
''Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk
pencipta sekalian alam.''
(Surah
Al-An'am :162)
Oleh
itu, kita disuruh untuk membaca ayat ini ketika melakukan penyembelihan korban.
Korban merupakan sunnah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.
Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak
Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dalam hadis riwayat
Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW:
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذِهِ الْأَضَاحِيُّ قَالَ
سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ
حَسَنَةٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَالصُّوفُ قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ مِنْ
الصُّوفِ حَسَنَةٌ
Maksudnya:
''Apa itu korban?.'' Baginda bersabda, ''Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi
Ibrahim,'' Beliau bertanya lagi, ''Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai
Rasulullah ?'' Baginda bersabda,''Setiap helai rambut adalah pahala.'' Katanya
lagi, ''Bagaimana pula dengan bulunya?'' Baginda bersabda, ''Setiap helaian
rambut daripada bulunya ialah pahala.''
Riwayat
Imam Ahmad (19283), al-Baihaqi (19489) di dalam Sunan al-Kubra,Ibnu
Majah (3217)
Ini
adalah hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini selepas menyempurnakan
perintah Tuhan mereka Yang Maha Memiliki lagi Maha Memberi. Juga sebagai
pemberian daripada apa yang telah dijanjikan oleh Allah dalam bentuk ganjaran
serta pahala. Suatu kumpulan telah terserempak dengan seorang pendeta di
kawasan penyembahan. Mereka berkata kepadanya, ''Bilakah hari perayaan
penduduk kawasan ini?'' Jawabnya, ''Hari yang diampunkan dosa para
penduduknya.''
Hari
raya bukan hari untuk kita memakai pakaian baharu tetapi hari untuk mereka yang
bertambahnya ketaatan dalam menyempurnakan suruhan Tuhan. Hari raya bukan hari
untuk menunjuk pakaian yang cantik dan kenderaan yang mewah tetapi hari yang
diampunkan segala dosa. Pada hari malam raya, diagihkannya tanda kebebasan dan
pengampunan ke atas hamba. Sesiapa yang memperolehnya, ia akan merasai nikmat
perayaan itu. Sesiapa yang tidak meraihnya, maka ia telah terusir jauh daripada
sifat tersebut.
Hari Raya Di Syurga
Sesungguhnya
hari raya orang yang beriman dalam syurga ialah ketika mereka menemui Tuhan
mereka. Mereka bertemu Tuhan dengan sepenuh kemuliaan. Tuhan mendedahkan
kebesaran-Nya dan mereka memandang kepada Tuhan. Tiada pemberian yang lebih
disukai oleh mereka melainkan menemui Tuhan mereka. Ia adalah pemberian
tambahan sebagaimana firman-Nya,
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا
يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ
هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya:”
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala
kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri)
tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”(Surah
Yunus:26)
Tiada
perayaan yang lebih disukai oleh sang pencinta selain menemui yang dicintainya.
''Itulah
keseluruhan hari yang membaluti perasaanku dengan mereka. Itulah
perayaan yang tiada lagi perayaan bagiku selainnya.''
Setiap
hari raya kaum Muslimin di dunia hakikatnya ialah hari raya bagi mereka di
syurga. Di sana mereka berkumpul menemui Tuhan mereka dan Tuhan akan
mendedahkan kebesaran-Nya kepada mereka. Hari Jumaat di syurga nanti dikatakan
sebagai hari tambahan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha saat semua ahli syurga
saling menziarahi. Diceritakan pada hari raya ini diraikan oleh kaum lelaki dan
perempuan sama seperti yang kita lakukan pada hari raya di dunia kecuali Solat
Jumaat. Ini adalah keadaan ahli syurga umumnya.
Bagi
ahli syurga khususnya pula, setiap hari adalah hari raya kerana mereka akan
menziarahi Tuhan setiap hari dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang. Setiap
hari di dunia adalah hari raya. Justeru, hari-hari mereka juga keseluruhannya
adalah hari raya. Hassan berkata, ''Setiap hari yang kita tidak melakukan
maksiat maka ia adalah hari raya. Setiap hari yang seorang Mukmin mentaati
Tuhannya, berzikir dan bersyukur, maka itu juga merupakan hari raya.''
Rukun
Islam yang terbina atasnya adalah lima perkara iaitu:
- Mengucap
dua kalimah syahadah
- Menunaikan
solat
- Mengeluarkan
zakat
- Puasa
di bulan Ramadhan
- Mengerjakan
haji
Maka,
sambutan hari raya yang disambut oleh seluruh umat Islam adalah apabila
selesainya kesemua rukun Islam di atas.
Adapun
kewajipan zakat, tiada waktu yang tetap untuk umat Islam mengeluarkan zakat
bagi membolehkan mereka menyambut hari raya, bahkan apabila cukup tempoh dan
kadarnya yang wajib bayar zakat, maka wajib bagi kita untuk mengeluarkan zakat.
Manakala
penyempurnaan mengucap dua kalimah syahadah adalah berdasarkan pelaksanaannya
dan penyempurnaan terhadap tuntutan kalimah syahadah kita, khususnya bagi orang
mukmin yang sentiasa bersungguh-sungguh untuk menjaganya pada setiap waktu.
Oleh itu, setiap hari di dunia dan di akhirat adalah merupakan hari raya bagi
mereka. Sebagaimana al-Syibil telah bermadah,
Hari
rayaku berterusan dan hari raya bagi orang lain akan berlalu
Hatiku terpesong daripada kelazatan yang menyesatkan
Bagiku
dua pendamping yang tidak mungkin aku belakangi
Lalu aku ratapi dari airmata kerinduan.
Oleh
itu, Hari Raya Korban merupakan hari raya paling agung dan banyak kelebihannya.
Pada hari itu, umat Islam berkumpul pada tempat dan waktu yang mulia iaitu pada
padang Arafah. Selepasnya ialah hari Tasyrik khusus nya bagi mereka yang
mengerjakan haji.
Tiada
perbezaan antara yang kaya dan miskin, semua akan menyambut hari raya dalm
keadaan yang sama. Setiap hari pada hari-hari itu adalah hari raya bagi orang
yang mengerjakan haji , sepertimana yang terdapat dalam hadis Uqbah bin 'Amir
bahawa Nabi SAW bersabda,
يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ
عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَهُنَّ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya:''
Hari Arafah, Hari Raya Korban, dan hari tasyrik adalah kesemuanya hari raya
bagi umat Islam, ia merupakan hari makan dan minum.”
Riwayat
al-Tirmizi (773),Abu Daud (2419), al-Nasaie (3004), Imam Ahmad (17379) di
dalam Musnad.
Oleh
itu, bagi yang menunaikan haji tidak disyariatkan untuk berpuasa pada
hari Arafah kerana di situlah hari raya dan tempat wuquf bagi mereka.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berbuka di Arafah dan manusia melihatnya.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang untuk berpuasa pada hari Arafah di
padang Arafah. Diriwayatkan juga daripada Sufyan bin 'Uyainah, beliau disoal
mengenai larangan berpuasa hari Arafah di padang Arafah. Beliau berkata,''
Larangan tersebut kerana ketika itu Allah menyambut tetamu-tetamu-Nya, dan
Tuhan tidak mahu melihat tetamu-tetamu-Nya dalam kelaparan.''
Makna
ini terdapat dalam dua hari raya dan juga pada hari Tasyrik kerana manusia
ketika itu merupakan tetamu-tetamu Allah Yang Maha Agung, terutamanya ketika
Hari Raya Korban. Hal ini demikian kerana ketika itu semua manusia akan memakan
daging binatang yang dikorbankan termasuklah mereka yang berada di padang
Arafah atau yang tiada di situ.
Hari
Tasyrik berlangsung selama tiga hari dan itu juga merupakan hari raya. Oleh
itu, Rasulullah SAW telah menyeru kepada penduduk Makkah bahawa hari itu
merupakan hari untuk kita makan, minum dan memperbanyakkan zikir. Jangan
sesekali puasa pada hari tersebut.
Kadangkala
akan terdapat dua perayaan dalam satu-satu hari sepertimana apabila
terhimpunnya hari Jumaat dan hari Arafah atau Hari Raya Korban dalam masa yang
sama, maka akan bertambahlah kelebihan pada hari mulia itu kerana terkumpul dua
hari raya di dalamnya. Hal ini demikian kerana Rasulullah SAW telah bertemu
dalam hajinya ketika wuquf dia Arafah pada hari Jumaat, maka telah turun firman
Allah,
لْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ
نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
Maksudnya:
''Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah
cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama
untuk kamu.'' (Surah
al-Ma'idah :3)
Penyempurnaan
agama pada hari tersebut menatijahkan beberapa perkara. Antaranya, setelah
kefarduan haji disyariatkan, umat Islam tidak terus mengerjakan ibadah haji
malah tiada seorang pun yang mengerjakannya. Oleh itu, penyempurnaan agama itu
diikira hanya apabila mereka yakin umat Islam menyempurnakan rukun Islam
kesemuanya. Ini merupakan pandangan sebilangan besar ulama. Antaranya juga
Allah telah mengembalikan ibadah haji sebagaimana yang disyariatkan kepada Nabi
Ibrahim, serta menghapukan segala perkara syirik yang dilakukan oleh orang sebelumnya.
Maka, perbuatan mengerjakan haji yang dilakukan oleh umat Islam sekarang tidak
bercampur antara syirik dan syariah.
As-Sya'bi
berkata,''Telah turun ayat ini kepada Rasulullah SAW ketika Baginda berada
di Arafah, tempat Nabi Ibrahim pernah berada sebelum ini. Syirik berkurangan
dan robohlah segala tempat jahiliah serta mereka tidak lagi melakukan tawaf di
Kaabah secara tidak berpakaian.''
Ini
juga yang diperkatakan oleh Qatadah dan lain-lain. Ia berkata,'' selepas ini
tiada lagi penurunan wahyu berkaitan pengharusan dan pengharaman sesuatu.'' Ini
juga yang dikatakan oleh Abu Bakar bin Ayyash.
Sesungguhnya
dengan penempurnaan nikmat itu adalah dengan tercapainya pengampunan, kerana
semua nikmat ini tidak sempurna tanpa pengampunan, sepertimana firman Allah
kepada Rasulullah SAW,
لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا
تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا
Maksudnya:''
kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah
lalu dan yang kemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada-Mu, serta
menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus.
(Surah
al-Fath: 2)
Allah
telah berfirman mengenai wuduk,
وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ
عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya:''
Tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan
nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.'' (Surah
al-Ma'idah: 6)
Muhammad
bin Ka'ab al-Qurazhi berpendapat wuduk adalah penghapus segala dosa, sepertimana
yang terdapat dalam hadis secara jelasnya. Beliau juga memberitahu bahawa Nabi
Muhammad SAW telah mendegar seorang lelaki mengadu dan berkata, ''Wahai
Tuhanku, aku memohon kepada-Mu berikanlah kepadaku kesempurnaan nikmat.'' Maka
telah berkata Baginda SAW kepadanya,
فَإِنَّ
مِنْ تَمَامِ النِّعْمَةِ دُخُولَ الجَنَّةِ وَالفَوْزَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya
: ''Kesempurnaan nikmat itu ialah apabila kita berjaya melepaskan diri
daripada seksaan api neraka dan memasuki syurga.''
Riwayat
al-Tirmizi (3257), Abu Syaibah (29356) di dalam al-Musannaf.
Ayat
ini memperlihatkan sebagaimana diriwayatkan akan keadaan hari Arafah yang
merupakan hari pengampunan dan pelepasan daripada api neraka.
Hari
Arafah banyak kelebihan, antaranya:
1) Hari penyempurnaan agama dan nikmat
2) Hari raya bagi seluruh umat Islam.
Sepertimana
mana telah dikatakan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan Ibnu Abbas, telah
diturunkan nikmat pada dua hari raya iaitu hari Jumaat dan hari Arafah.
Diriwayatkan daripada Umar katanya, ''Kedua-duanya bagi kami adalah
hari raya.'' ( Direkodkan oleh al-Tabari dan tafsirnya.)
Ini
dibuktikan dengan hadis daripada Uqbah bin Amir, tetapi ianya hari yang khusus
untuk orang yang berwukuf di padang Arafah sahaja. Disyariatkan untuk berpuasa
bagi penduduk negeri lain pada pandangan majoriti ulama,sekali pun ada sedikit
perselisihan dalam kalangan salaf.
3)
Hari Arafah merupakan genap (as-Shafa') dalam surah al-Fajr.
Dikatakan
juga sebagaimana yang Allah nyatakan tentang sumpah-Nya dalam al-Quran
bahawa Hari Arafah merupakan yang genap (as-Shafa') dalam surah
al-Fajr, manakala yang ganjl (al-Watr) pula adalah Hari Raya Korban.
Ia diriwayatkan juga dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW daripada Jabir
RA. Turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa'i dalam tafsirnya. Dikatakan,
''Inilah asy-Syahid yang Allah bersumpah dengannya sebagaimana fiman Allah,
وَشَاهِدٍ
وَمَشْهُودٍ
Maksudnya:''
Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keaadan yang
disaksikan.'' (Surah
al-Buruj: 3)
Dalam
kitab al-Musnad daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan secara
marfu' dan mawquf:
الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ
الْقِيَامَةَ
Maknanya:''Saksi
adalah hari Arafah manakala hari yang dijanjikan itu ialah hari kiamat.''
Riwayat
Imam Ahmad (7972) di dalam Musnad,al-Hakim (3915) di dalam al-Mustadrak,
al-Baihaqi (5773) di dalam Sunan al-Kubra.
Diriwayatkan
oleh al-Tirmizi dengan periwayatan secara marfu'. Diriwayatkan juga oleh Ali
dengan kata-katanya. Al-Tabarani meriwayatkan hadis daripada Abi Malik
al-'Asya'ri yang diriwayatkan secara marfu',
الشَّاهِدُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، وَالْمَشْهُودُ يَوْمَ
عَرَفَةَ
Maknanya:''Saksinya
ialah hari Jumaat manakala penyaksian ialah hari Arafah.'' Oleh
itu, apabila berlaku hari Arafah pada hari Jumaat,maka akan berkumpullah antara
saksi dengan penyaksian.
4) Sebaik-baik hari
Diriwayatkan
juga bahawa ia adalah sebaik-baik hari. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW bersabda,
أفضلُ الأيام يومُ عرفة
Maksudnya: ''Sebaik-baik
hari ialah hari Arafah. Rujuk Jami’
usul fi ahadis al-Rasul (6867)
Perkara
ini disepakati oleh sebahagian para ulama. Ada juga dalam kalangan mereka yang
berpandangan bahawa Hari Raya Korban adalah sebaik-baik hari bersumberkan
kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW,
bahawa Baginda telah bersabda,
أَعْظَمَ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ ثُمَّ
يَوْمُ الْقَرِّ
Maknanya
: ''Hari yang agung di sisi Allah ialah Hari Raya Korban,kemudian hari
menetap di Mina iaitu pada hari kesebelas dalam bulan Zulhijjah.''
Riwayat
Ibnu Khuzaimah (2917) di dalam Sohihnya, al-Baihaqi (10538) di
dalam Sunan al-Kubra.
Telah
diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasa'i dan Ibnu Hibban dalam
sahihnya dengan lafaznya, ''Sebaik-baik hari.''
5) Menyamai 10 000 hari
Kelebihan
hari Arafah menyamai 10 000. Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata ,
''Kelebihan hari Arafah menyamai 10 000.'' Telah disebutkan dalam kitab
kelebihan ' Atha', beliau bahawa berkata,
6) Haji yang Agung
Ia
merupakan haji yang agung pada pandangan para salaf antaranya ialah Umar dan
lain-lain, manakala yanag lain tidak menyokong pandangan ini. Mereka berkata,
''Hari haji yang paling agung ialah pada Hari Raya Korban.'' Ini diriwayatkan
daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.
7) Puasanya akan menghapuskan dosa untuk dua tahun
8) Hari pengampunan dosa, pelepasan azab api neraka dan
kemegahan bagi orang berwuquf di Arafah
Seperti
mana terdapat dalam Sahih Muslim daripada Sayidatina Aisyah, Rasulullah SAW
bersabda,
مَا
مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ
مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ
فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya
: '' Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada neraka melebihi
hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para
malaikat. Allah berfiman, 'Apa yang diinginkan oleh mereka?'''
Riwayat
Muslim (3354), Ibnu Majah (3014). Dalam
kitab al-Musnad daripada Abdullah bin 'Amru, Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ
اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي مَلَائِكَتَهُ عَشِيَّةَ عَرَفَةَ بِأَهْلِ
عَرَفَةَ فَيَقُولُ انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي أَتَوْنِي شُعْثًا غُبْرًا
Maksudnya:
'' Sesungguhnya Allah berbangga dihadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di
Arafah. Allah berkata, ' Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka
datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut .''
Riwayat
Imam Ahmad (7089), al-Tabarani (1504) di dalam Mu’jam al-Kabir.
Telah
diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ
اللَّهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَاتٍ مَلاَئِكَةَ أَهْلِ السَّمَاءِ ، فَيَقُولُ :
انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي هَؤُلاَءِ جَاءُونِي شُعْثًا غُبْرًا.
Maksudnya: ''Sesungguhnya
Allah membanggakan ahli-ahli Arafah, dengan berkata, 'Lihatlah kepada hamba-Ku,
mereka telah berhimpun dan berkumpul di hadapan-Ku dalam keadaan berdebu dan
kusut.''
Riwayat
Ibnu Hibban (3852) di dalam Sohihnya
Diriwayatkan
lagi daripada hadis Jabir, Rasulullah SAW bersabda,
مَا مِنْ يوْمٍ أَفْضَلُ عِنْدَ
اللَّهِ مِنْ يوْمِ عَرَفَةَ يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا
فَيُبَاهِي بِأَهْلِ الأَرْضِ أَهْلَ السَّمَاءِ ، فَيَقُولُ : انْظُرُوا إِلَى
عِبَادِي شُعْثًا غُبْرًا ضَاحِينَ جَاءُوا مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ يَرْجُونَ
رَحْمَتِي ، وَلَمْ يَرَوْا عَذَابِي ، فَلَمْ يُرَ يَوْمٌ أَكْثَرُ عِتْقًا مِنَ
النَّارِ مِنْ يوْمِ عَرَفَةَ.
Maksudnya: ''Tiada
ada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan hari Arafah. Allah turun ke
langit dunia dan bermegah-megah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia,
Lantas berkata,'Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka berkumpul di hadapan dengan
penuh debu, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan
rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab, Maka tidak dilihat hari yang lebih
banyak pelepasan daripada api nerak-Ku daripada hari Arafah.'''
Riwayat
Ibnu Hibban (3853),Abu Ya’la (2036) di dalam Musnad.
Ibnu
Mandah meriwayatkan dalam Kitab at-Tauhid dengan lafaznya, ''Apabila
tiba hari Arafah, Allah akan turun dari langit ke bumi, maka Dia bermegah-megah
dengan malaikat, seraya berkata, 'Lihatlah kamu kepada hamba-hamba-Ku, mereka
datang kepada-Ku dengan berdebu dan dari seluruh penjuru yang jauh, saksikanlah
oleh kamu semua (malaikat) kepada mereka, sesungguhnya Aku telah mengampunkan
dosa mereka.”
Malaikat
berkata, 'Wahai Tuhanku, si fulan ini berada dalam keadaan yang teruk.'
Allah berkata, 'Aku telah memberi keampunan kepada mereka. Tiada hari yang
kebanyakkan mereka terlepas daripada seksaan api neraka melainkan pada hari
Arafah.''
Beliau menyambung, sanadnya bersambung dan statusnya
adalah hasan. Kami meriwayatkan dari sudut yang lain dengan sedikit penambahan
dalamnya, iaitu,
"Saksikanlah kamu wahai hamba-Ku sesungguhnya Aku telah
memberi keampunan kepada orang yang membuat baik, dan memaafkan orang yang
berbuat jahat.''
Kami
meriwayatkannya daripada Ismail bin Rafi'e (perawi lemah), dalamnya terdapat
ucapan Anas, Rasulullah SAW bersabda,
فَإِنَّ
اللَّهَ يَهْبِطُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا ، فَيُبَاهِيَ بِكُمُ
الْمَلاَئِكَةَ ، يَقُولُ : هَؤُلاَءِ عِبَادِي جَاءُونِي شُعْثًا غُبْرًا مِنْ
كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ، يَرْجُونَ رَحْمَتِي وَمَغْفِرَتِي ، فَلَوْ كَانَتْ
ذُنُوبُكُمْ عَدَدَ الرَّمْلِ ، أَوْ كَزَبَدِ الْبَحْرِ لَغَفَرْتُهَا ،
أَفِيضُوا عِبَادِي مَغْفُورًا لَكُمْ ، وَلِمَنْ شَفَعْتُمْ لَهُ
Maksudnya:
''Allah turun ke langit dunia untuk melihat penduduk Arafah, kemudian
bermegah-megah dengan kalian di hadapan malaikat, lantas berkata, 'Mereka semua
hamba-Ku, mereka telah datang kepada-Ku dalam keadaan berdebu dari seluruh
pelosok yang jauh, mereka mengharapkan keampunan dan rahmat-Ku, jika dosa
mereka sebanyak bilangan pasir, Aku akan hapuskan segala dosa mereka, dan Aku
beri syafaat kepada mereka.''
Rujuk Ithaf
al-khiyarah al-al-maharah ( 2540)
Diriwayatkan
juga oleh al-Bazzar dalam kitab al-Musnad dengan maknanya, daripada hadis
Mujahid daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersbda, ''Tidak aku ketahui sanad yang
terbaik melainkan sanad ini.'' Telah diriwayatkan oleh al-Tabarani dan
lain-lain, daripada hadis Abdullah bin 'Amru bin Al-'Ash daripada Nabi SAW
secara ringkas.
Kami
meriwayatkan dari jalur al-Walid bin Muslim bahawa beliau telah berkata, ''Abu
bakar bin Abi Mariam telah memberitahu kepadaku, daripada gurunya,
'sesungguhnya Nabi SAW bersabda,
''Sesungguhnya Allah telah turun ke
langit dunia pada malam Arafah, seraya berjumpa dengan malaikat-Nya dan
berkata, 'Setiap tetamu berhak mendapat hadiah, mereka semua ini adalah
tetamu-Ku yang datang penuh berdebu, Aku berikan kepada mereka apa yang mereka
mohonkan, dan Aku gantikan apa yang telah mereka infakkan. Apabila tenggelamnya
matahari Allah berfirman: Aku mengampuni mereka yang melakukan kejahatan disebabkan
mereka yang melakukan kebaikan, dan Aku kurniakan kepada mereka yang melakukan
kebaikan apa yang mereka mohon, bergeraklah (Mudzdalifah) dengan nama Tuhan.''
Ibrahim
bin Al-Hakam bin Abban telah meriwayatkan, bapaku telah memberitahu, bahawa
Farqad telah memberitahu,
''Sesungguhnya pintu langit telah terbuka pada setiap
malam sebanyak tiga kali, manakala pada malam Jumaat sebanyak tujuh kali, dan
pada malam Arafah sebanyak sembilan kali.''
Kami telah meriwayatkan secara
marfu' dan mauquf, daripada jalan Nufai' bin Abi Daud, daripada Ibnu Umar,
'Apabila
umat Islam berkumpul pada malam Arafah, setiap orang yang di dalam hatinya
sebesar zarah daripada iman di beri keampunan,'' Di tanya kepadanya, ''yang
dimaksudkan di sini khusus bagi yang berada di sini atau umum untuk semua umat
Islam?'' Aku menjawab, ''Untuk semua umat Islam.''
Imam
Malik meriwayatkan dalam kitab al-Muwaththa' daripada riwayat-riwayat mursal
Thalhah bin Ubaidillah bin Kariz bahawa Rasulullah SAW bersabda,
ما رؤيَ الشيطانُ يوما هو فيه أصْغَرُ
، ولا أدْحَرُ ولا أحْقَرُ ، ولا أغْيَظُ منه في يوم عرفة ، وما ذاك إلا لما يرى
من تَنَزُّل الرحمة ، وتجاوز الله عن الذُّنوبِ العِظامِ ، إلا ما أُرِيَ يومَ
بَدْر ، فإنَّه قَدْ رأى جبريل يَزَعُ الملائكة
Maksudnya: ''Tiada
hari syaitan tidak di lihat dirinya paling kerdil, paling jauh, paling hina dan
paling marah pada mana-mana hari melainkan pada hari Arafah. Itu hanya kerana
ia melihat turunnya rahmat dan Allah mengampunkan segala dosa besar. Itulah
kecuali daripada apay ang telah ditunjukkan pada hari Badar.'' Ditanya
kepadanya, ''Apa yang ditunjukkan kepadanya pada hari Badar?'' Baginda
bersabda, ''Bukan kah dia melihat Jibrail mengatur barisan pada malikat.''
Riwayat
Imam Malik (6866) di dalam al-Muwatta’,al-Baihaqi (4069) di
dalam Syu’ab al-Iman.
Telah
diriwayatkan oleh Abu 'Uthman al-Shabuni disandarkan pada seorang lelaki yang
merupakan tawanan di negara Rom, dia berjaya melarikan diri daripada kubu
pertahanan, dan beliau telah berkata, ''Aku berjalan pada waktu malam,
manakala pada waktu pagi aku bersembunyi. Aku berjalan pada waktu malam yang
antara aku dikelilingi bukit dan pokok, tiba-tiba aku perasan seseorang, dia
seolah-olah berada dalam kerisauan juga.
Aku melihatnya menunggang unta. Ia menjadikan aku takut,
mana mungkin unta ada di negara Rom. Lantas aku berkata, 'Maha Suci Allah! Di
negara Rom, ada penunggang unta, ini sangat aneh.' Apabila dia melewati ku,
lantas aku bertanya, 'Wahai hamba Allah, siapa kamu?' Dia menjawab,'jangan kau
tanya.' Aku berkata, 'aku rasa sangat pelik, maka kau beritahulah aku.'
Dia menjawab juga, 'jangan kau tanya.' Aku tidak peduli dan
mengasaknya dengan pertanyaan yang sama. Maka dia pun mejawab, 'Aku ialah
iblis, aku datang dari Arafah, Aku bersama mereka pada permulaan sepertiga
malam hari ini, dan aku memerhati mereka. Maka turunlah rahmat dan keampunan,
dan dikurnuiakan kepada sebahagian mereka dengan hal yang lain. Hal itu
menyebabkan aku gelisah, sedih dan sayu.
Sekarang aku menghala ke Konstantinopel. Aku senang
mendengar perkara-perkara yang mensyirikan Allah dan dakwaan sesungguhnya
bagi-Nya ada anak. 'Aku berkata,' Aku berlindung dengan nama Allah daripadamu.
'Ketika aku menyebut perkataan ini, orang itu ghaib daripada pandanganku.''
Cerita
ini dikuatkan dengan hadis oleh Abbas bin Mirdas sepertimana yang
direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dalam doa Nabi SAW untuk orang yang
menunaikan ibadah haji yang bermalam di Arafah, kemudian di Muzdalifah. Doa itu
diperkenankan Allah dan Baginda SAW dalam keadaan ketawa telah bersabda,
إِنَّ
عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ لَمَّا عَلِمَ أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدِ
اسْتَجَابَ دُعَائِى وَغَفَرَ لأُمَّتِى أَخَذَ التُّرَابَ فَجَعَلَ يَحْثُوهُ
عَلَى رَأْسِهِ وَيَدْعُو بِالْوَيْلِ وَالثُّبُورِ فَأَضْحَكَنِى مَا رَأَيْتُ
مِنْ جَزَعِ
Maksudnya:
'' Sesungguhnya iblis ketika mengetahui bahawa Allah mengampunkan segala dosa
umatku dan mengabulkan doaku buat mereka, iblis menaburkan tanah di atas
kepalanya, seraya menyerukan kecelakaan dan kemusnahan. Ia membuatkan aku
ketawakan syaitan yang dalam kegelisahan itu.''
Riwayat
Ibnu Majah (3127),al-Baihaqi (9753) di dalam Syu’ab al-Iman.
Diriwayatkan
daripada Ali bin al-Muwaffaq bahawa dia berada di Arafah untuk menunaikan haji,
dan dia melihat di sana ramai manusia,lantas berkata, ''Wahai Tuhanku,
sekiranya Engkau tidak menerima haji mereka semua maka aku hadiahkannya dengan
hajiku.'' Dia bermimpi bahawa Allah berkata kepadanya, ''Wahai anak
al-Muwaffaq! Adakah kamu lebih dermawan daripada-Ku? Sesungguhnya Aku
mengampunkan orang yang berwukuf di Arafah, dan Aku memberi syafaat kepada
setiap seorang daripada mereka yang merangkumi ahli keluarganya, anak-anaknya
dan sanak-saudaranya, dan Akulah yang patut kalian bertakwa kepada-Nya dan yang
berhak memberi keampunan.''
Ada
juga diriwayatkan seumpama ini daripada para ulama yang lain. Oleh itu, sesiapa
yang sangat menginginkan pelepasan daripada azab nereka dan pengampunan
daripada dosanya di hari Arafah, jagalah perilaku dan ibadah yang
membolehkannya memperoleh keampunan tersebut.
9) Berpuasa pada hari itu
Daripada
Abu Qatadah bahawasanya Nabi saw bersabda
صِيَامُ
يَومِ عرفة أَحْتَسِبُ عَلَى الله أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ التي قَبْلَهُ والسنة
التي بَعْدَهُ
Maksudnya:”
Puasa pada hari Arafah,Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang
sebelum dan selepas tahun itu.” Riwayat
Muslim (1162)
Penutup
Begitulah
sebahagian dari Dari kelebihan Hari Arafah dan Hari Raya Aiduladha yang telah
disebutkan oleh Baginda Nabi saw. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat
haji yang mabrur,pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan
untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut.
Semoga Allah merahmati dan mengampunkan kita semua.
Akhukum fillah,
Sumber: Sahibus
Samahah Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti
Wilayah Persekutuan
1 Comments
Terima kasih diatas perkongsian ini
ReplyDelete